Penduduk bosan bau busuk
Oleh Hanisah Selamat
Penghuni pangsapuri Sri Indah gesa pindahkan pusat lupus sampah cemar udara, punca langau
SERI KEMBANGAN: Penduduk berhampiran kawasan pusat pelupusan sampah Ayer Hitam, Puchong dekat sini sudah tidak tahu ke mana lagi mahu mengadu nasib berhubung masalah pencemaran yang dihadapi mereka setiap hari.
Bukan sekadar bau busuk, mereka yang tinggal berdekatan kawasan buangan sisa selenggaraan sebuah syarikat swasta itu terpaksa berdepan risiko cirit-birit dan pelbagai penyakit lain kerana kehadiran langau yang muncul tanpa mengira masa.
Sejak tiga tahun lalu, tiap kali diajukan persoalan mengenai penutupan tapak pelupusan itu, jawapannya tetap sama iaitu hujung tahun sedangkan melihat kapasiti, sampah sudah membukit dan longgokan semakin menghampiri kediaman penduduk.
Dikatakan kawasan pelupusan sampah Ayer Hitam yang dibina pada 1995 itu sepatutnya dapat menampung kandungan sampah sehingga 2007, tetapi ia perlu ditutup lebih awal kerana penuh.
Kawasan pelupusan sisa pepejal seluas 42 hektar itu juga menjadi satu-satunya kawasan pelupusan di Selangor dan menerima 1,400 tan bahan buangan sehari.
Jika beberapa bulan lalu, penghuni pangsapuri Sri Indah di sini mengadu longgokan sampah hanya kira-kira 50 meter dari kediaman, kini keadaan sama terpaksa dilalui kira-kira 1,000 jiran mereka iaitu penghuni kondominium Desaminium, Puncak Jalil.
Sebenarnya ia bukan hanya membabitkan penduduk berhampiran, lokasinya yang ‘strategik’ iaitu terletak antara sempadan Puchong dengan Seri Kembangan membuatkan semua yang berada dalam lingkungan daerah itu berkongsi masalah sama iaitu bau busuk, lalat dan penyakit.
Seorang penghuni Desaminium, Abdul Ghafar Mohammed, berkata sudah acap kali ‘orang besar’ datang melawat termasuk Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Menteri Besar Selangor serta Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), tetapi jawapan yang diberikan hanya sekadar penyedap hati.
Beliau berkata, daripada kunjungan akhir yang menghimpunkan perwakilan penduduk di 11 taman berhampiran, dikatakan pusat pelupusan itu akan ditutup pada pertengahan tahun tetapi sehingga kini ia masih gah beroperasi.
“Kerajaan dan pihak yang terbabit dalam hal ini patut lebih peka. Kesan pencemaran udara dan penyakit yang disebabkan bukit sampah ini tidak nampak serta-merta, tetapi takkan mahu menunggu hingga ada kematian, baru ia ditutup.
“Saya pernah ke Kementerian Pelajaran kerana dimaklumkan bersebelahan kondominium kami akan didirikan sekolah rendah dan menengah. Walaupun projek itu mungkin dua atau tiga tahun akan datang, ia hanya bersebelahan bukit sampah.
“Jika pusat pelupusan ini tidak ditutup segera, bagaimana kerja membaik pulih hendak dilakukan. Gas metana, air sampah dan karbon monoksida yang terpendam sekian lama harus dirawat, tentu saja proses ini mengambil masa.
“Kami harap pihak berkaitan tidak melengah-lengahkan janji untuk menutup pusat ini. Sanitari secara timbusan ini tetap memberi kesan kepada persekitaran dan sumber air. Kami tidak mahu keluarga terutama anak-anak kami menerima kesannya,†katanya.
Sementara itu, juruanalisis komputer Effendy Ali, berkata sejak berpindah masuk tiga tahun lalu dia sudah berulang kali naik turun tangga ke JAS Selangor serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Perbandaran Subang Jaya, selain menghantar surat aduan.
Malah surat balasan daripada Pengarah JAS Selangor, Che Asmah Ibrahim bertarikh 2 Oktober 2006 memaklumkan aduan sudah diterima dan penutupan tapak berkenaan ditangguhkan ke akhir 2006 hingga siapnya projek Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21 Shah Alam.
Katanya, apa yang menimbulkan tanda tanya ialah kenapa lori sampah terus beroperasi keluar masuk di situ tanpa mengira waktu, manakala kawasan longgokan sampah terus lebar dan dibiarkan terdedah hingga mencemarkan udara persekitaran?
“Sudah banyak aduan saya hantar kepada pelbagai kementerian. Biarpun jawapan Pengarah JAS Selangor sendiri mengatakan ia ditutup akhir 2006, tiada nampak tanda-tanda operasi dihentikan. Lori semakin bertali arus datang, sampah pula tinggi membukit.
“Sampai bila kami harus berdepan masalah yang tiada penghujungnya ini. Tanya JAS, kata mereka soal itu bukan dibawah bidang kuasa mereka. Rujuk kepada Kerajaan Selangor, jawapan mereka belum jumpa pusat baru. Jadi ia sebenarnya di bawah tanggungjawab siapa?
“Apa pun kami harap ada pihak tampil membantu kami. Pusat pelupusan ini sudah tidak mampu lagi menampung buangan. Bagaimana nasib kami, anak-anak kami? Kami tidak dapat lari ke tempat lain kerana ini satu-satunya rumah yang kami miliki,†katanya.
Tinjauan Sentral pada hujung minggu mendapati deretan lori sampah tetap keluar masuk ke pusat pelupusan terbabit tanpa mengira waktu, malah meninggalkan air dan bau busuk sepanjang laluan berkenaan.
Jalan yang menjadi satu-satunya laluan masuk ke kawasan perumahan itu juga terpaksa ‘dikongsi’ dengan lori sampah. Laluan yang kelihatan baru diturap itu kembali berlubang kerana sering diterjah lori sampah pelbagai saiz.
Longgokan sampah yang membukit pula boleh dilihat dari bangunan kondominium Desaminium kerana lori sampah itu dipercayai mengalihkan operasi mereka di pinggir kawasan terbabit disebabkan lokasi lain sudah penuh.
Hasilnya, bau kurang menyenangkan dapat dihidu tanpa mengira waktu terutama apabila hujan selain menyebabkan lalat dan langau sentiasa datang bertandang.
Selain Desaminium, taman kejiranan lain yang terpaksa melalui masalah sama ialah Lestari Perdana, Equin Park, Pinggiran Putra, Putra Permai, Lestari Mansion, Lestari Putra, Lestri Puchong dan Puncak Jalil.